



31 Julai 2011, Kuala Lumpur – Satu Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2011 telah diadakan di Dataran Merdeka yang mana mendapat perkenaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mencemar duli.
Ketibaan baginda disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Baginda kemudian berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat utama yang terdiri daripada 107 anggota dari Rejimen Askar Melayu Diraja termasuk dua orang kapten dan dua orang pembawa panji-panji yang diketuai oleh Mejar Amriza Mohd Ashari.
Pada istiadat tersebut, pelbagai persembahan diadakan termasuk deklamasi sajak bertajuk “Pahlawan” oleh DSP Rose Baini Kassim dan P/ASP Mohamad Mahat.
Walaupun hujan renyai, acara tetap diteruskan dengan persembahan pantomin mengenai sejarah pejuang-pejuang negara oleh 200 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan nyanyian koir PDRM bertajuk “Perjuangan Tanpa Nokhtah”.
Laungan “Daulat Tuanku” kemudian kedengaran sebanyak tiga kali oleh anggota-anggota perbarisan yang terdiri daripada PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta veteran tentera dan polis.
Tanggal 31 Julai ditetapkan sebagai Hari Pahlawan sempena hari perisytiharan tamatnya zaman darurat pada 1960 dan ia buat pertama kali diadakan pada 4 Ogos 1968.
-BERNAMA
-Photo Nizam Zailan